Menghadapi Takdir Allah

Filed Under () by orenBlossom on Saturday, July 24, 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saban waktu memikirkan perkara yang sama. Berat sekali menggalas takdir ini.Walau seolah sudah terjumpa penyelesaiannya (iaitu redha!), namun rasa kekesalan bagai mengisi seluruh ruang hati. Benarlah, ujian terkecil dan terbesar adalah takdir Allah.

Andai masa boleh diundur...tapi tidak mungkin. Andai kesalahan boleh diperbetul...namun sudah terlambat. Semuanya sudah tidak boleh dilakukan kecuali redha dan menjalani takdir itu. Setiap hari berjumpa dengan sahabat-sahabat, masih mampu mengukir senyuman. Masih berkeupayaan ketawa bersama namun akurlah di sudut hati paling dalam hati ini sebenarnya cukup luluh dan dibaluti setebal-tebal penyesalan.



Daripada Anas r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah S.A.W:

"Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita untuk mati disebabkan kerana musibah yang menimpanya. (tetapi) Sekiranya dia terpaksa juga berbuat demikian maka ucapkanlah (berdoalah) : " 

Ya Allah hidupkanlah aku selagi kehidupan ini lebih baik bagiku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu adalah lebih baik bagiku." 
(HR Bukhari & Muslim)


Si Pengkagum Kisahmu

Filed Under (), (), () by orenBlossom on Tuesday, July 13, 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Setelah terhairan bertahun-tahun dengan kisah Nabi Allah Yusuf dan Zulaikha, akhirnya saya memahami kisah sebenar mereka setelah membaca buku Kisah Cinta Dalam Al Quran. Saya kagum!


Seandainya tercatat dia milikku
Seandainya tercatat dia untukku
Dekatkanlah daku bermesra padu
Bahagia sentiasa setiap waktu

Tak ingin daku kecewa bercinta
Andai milik bukanlah takdirnya
Bawalah dia sesaujana mata
Biarlah luput kerlipan permata

Biar berjalan di awan gelap
Tanpa cintanya yang kian malap
Takkan lagi daku berharap
Sendirinya berkilau tanpa digilap

Siti Zulaikha engkaulah permata
Penghias seri taman syurgawi
Kasihmu tiada tolok bandingnya
Tersimpul cinta bersama redha-Nya

Siti Zulaikha serikandi kasih suci
Sejernih embun yang putih berseri
Megahlah berdiri tugu cinta ini
Tegak bersama kasih abadi

Namun dengan kuasa yang Esa
Cinta terbiar tersahut disapa
Berputiklah mekar menyinar bahgia
Kasih cinta pada Yusuf mulia


p/s: Dapatkan buku Kisah Cinta Dalam Al Quran secara online DI SINI

Cinta, Cintun atau Maggi Cintan?

Filed Under (), () by orenBlossom on Sunday, July 11, 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 

Topik cinta bukanlah topik kegemaran saya. Bukan sesuatu yang terlalu 'catchy' buat saya. Tambah-tambah lagi buat masa sekarang, saya seolah-olah kehilangan unsur cinta dalam jiwa. Namun skopnya di sini hanyalah cinta antara lelaki dan perempuan. Cinta dari seorang hawa buat adam. Saya begitu alergik dengan cinta itu buat masa sekarang. Bahkan, pembacaan saya pada sebuah novel, Kitab Cinta Yusuf dan Zulaikha karya saudara Taufiqurrahman al Azizy terbantut gara-gara unsur cinta dalam novel tersebut. Lambakan unsur cinta yang merimaskan emosi saya yang sedang berkecimuk.   Lalu novel itu saya simpan dahulu, masukkan ke dalam kotak yang turut berisi buku-buku kimia, biologi dan lain-lain buku.


Namun begitu, bukanlah saya menafikan fitrah bahawa wanita dan lelaki itu adalah pasangan. Bukan juga saya menolak perasaan yang 'bisa' terjadi di antara dua makhluk Allah yang berbeza jantina ini. Jauh sekali seperti sangkaan seorang lelaki ajnabi yang bertanyakan adakah saya anti-lelaki? 

Sebuah pertanyaan yang benar-benar memeranjatkan bahkan lucu! Saya hairan bagaimana otaknya boleh berfikir untuk membuat soalan (sangkaan) sebegitu untuk saya. Mungkinkah kerana mesej yang dihantar dijawab hambar oleh saya? Atau bertambah kemungkinannya apabila saya sengaja menggagalkan friend request darinya di Facebook? Setelah terpaksa memberikan sedikit penjelasan (bagi meredakan rasa terkejut), beliau seolah menyatakan saya 'over' menjaga batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Benarkah? Pernahkan saudara 'ajnabi' membaca tentang ikhtilat sebelum mengatakan saya over?

Entah...Namun, sangkaan itu tidaklah membuatkan saya marah, mungkin kerana keberadaban beliau kepada saya. Menghormati saya.



Disebabkan jiwa saya sedang kekosongan unsur cinta itu, maka bukanlah kerajinan saya untuk menulis tentang cinta. Namun, kadangkala melihat karenah kawan-kawan, membuatkan saya banyak berfikir tentang itu. Tentang cinta, tentang lelaki, tentang kahwin, tentang jodoh... Apatah lagi saya sendiri setelah mengalami ujian dari Allah, ada sedikit pengalaman tentangnya.

Karenah-karenah Mereka

Sahabat-sahabat yang muslimah, sasarannya tentulah laki-laki yang soleh. Teringat baru-baru ini, ketika berjalan di kedai-kedai sekitar Kangar. Tiba-tiba dua orang sahabat tergelak-gelak kecil. Saya berpaling ke belakang. Terlihatlah dua susuk tubuh yang berkopiah. Dalam hati  sekadar tersenyum dengan gelagat mereka. Malas melayan kegembiraan mereka melihat lelaki beriman barangkali!

Sahabat-sahabat yang lain, lagi banyak karenahnya dalam menyelami cinta. Sehingga saya sendiri rasa terkilan dengan diri sendiri kerana tidak mampu menegur mereka.  Gambar-gambar yang diambil berdua-duaan satu hal. Namun yang lagi berat adalah cara mereka berdua-duaan!  Islam melarang berkeadaan begitu sahabatku...


Kecanggihan handphone dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghangatkan hubungan cinta. Video call. Tiada lagi istilah jauh di mata dekat di hati. Itu istilah manusia yang kuno teknologi barangkali (maaf, tidak menghina sesiapa). Sekarang semuanya dekat.  Dapat melihat 'si abang 'tanpa baju barangkali dan melihat 'si ayang' tanpa tudung! 

Balik ke Terengganu menaiki bus kadangkala berpeluang berada dalam bus yang sama dengan pasangan kekasih @ couple. Kenalan saya jugak. Saya kenal 'makwenya'. Perempuan yang agak baik bagi saya. Pakaian pun tidaklah ketat. Tudung dipakai elok, tanpa sempang-sempang  dan menutupi dada. Namun agak terkejut apabila terpandang dengan selambanya menyentuh tangan si lelaki.  Mungkin benar dia bukan berniat untuk memegang tangan si lelaki namun wajarkan menyentuhnya walaupun sekejap? Perlukah menyentuh walaupun sekadar mengalih tangan si lelaki? Jangan melihat ini sebagai pemandangan biasa atau tiada apa-apa. Haram hukumnya.

Amar ma'ruf Nahi Mungkar

Kemungkaran di depan mata saya, di tepi jasad saya, terdengar di telinga saya, namun apa yang saya buat? Semoga Allah menguatkan iman saya agar saya mampu menegur mereka suatu masa nanti. Juga saya berdoa supaya saya dijauhkan dari kemungkaran itu malah dijauhkan  juga dari yang lebih teruk dari itu. 

Bukanlah saya ingin mengutuk kawan-kawan saya. Bukanlah niat saya menyebarluaskan dosa-dosa orang lain sementelah saya sendiri bukan maksum.  Saya tidak membenci mereka, yang saya benci adalah maksiat yang dilakukan. 

Lalu bagaimana dengan saya?

Saya? Saya masih mencari ilmu tentangnya.  Sekarang pun saya sedang membaca buku Mencari pasangan Hidup oleh Ustaz Emran Ahmad. Baru sikit bacaan saya. Sedih sekali buku itu terpaksa saya tinggalkan di Terengganu. Tak muat beg. Masih banyak buku lain dan barang-barang lain perlu saya bawa ke sini. 

Namun begitu, saya berfikiran, jodoh tak perlu dicari, namun bukan juga terus menanti. Kenapa perlu gunakan cara yang tidak diredhai demi memperolehi pasangan halal?Fikir-fikirkan!


Wanita Islam Yang Bijak

Filed Under () by orenBlossom on Saturday, July 10, 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Artikel diambil dari blog Pandangan Seorang Ustaz, tulisan Ustaz Emran Ahmad

Memahami perintah Allah dan seruan yang terkandung dalam Al Qur'an dan Sunnah tidaklah mudah apatah lagi mengutip hikmat yang tersimpan di dalamnya.

Selain memerlukan kepada ilmu dan pemahaman yang mendalam, ianya juga memerlukan kepada kemahiran dan kebijaksanaan yang tinggi dan pendedahan kepada suasana sekeliling yang membantu.





Di dalam Islam, wanita sebenarnya juga merupakan golongan yang pintar dan bijak dan diberi kemuliaan dalam ilmu dan kedudukan. Ini dibuktikan dengan banyak hujah, antaranya ialah seperti apa yang diriwayatkan oleh Shofiyah Binti Syaibah ra berkata:

Ketika kami bersama Aisyah ra, beliau berkata: "Saya teringat akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka." Aisyah berkata: "Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi Allah saya tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab Allah dan lebih meyakini ayat-ayatNya melebihi wanita-wanita Anshar. Ketika turun kepada mereka ayat:

"Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung ke dadanya" (Q.S An Nur:31)


Maka para suami segera mendatangi ister-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan Allah kepada mereka. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak wanita, saudara wanita dan kaum kerabatnya. Dan tidak seorang pun diantara wanita itu kecuali segera berdiri mengambil kain (tirai) dan menutupi kepala dan wajahnya kerana percaya dan iman kepada apa yang diturunkan Allah dalam kitabnya.

Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah Shalallahu 'alaihi wassalam dengan kain penutup seakan-akan di atas kepalanya terdapat burung gagak.

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya, agar rasul menghukum (mengadili) diantara mereka, maka mereka menjawab:"Kami dengar dan kami patuh". dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan. (Q.S An Nur: 51-52)



Malangnya wanita-wanita hari ini kurang memahami isi kandungan Al Qur'an, kurang meneliti maknanya dan kurang sekali yang mengamalkan isi kandungannya. Kebijaksanaan itu adalah apabila cepat dapat memahami maksud dan segera mengamalkan tanpa tangguh terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah dan rasul.

Wanita Islam tidak banyak khayalnya atau rambangnya dalam sirah Islam, mereka menyedari bahawa matlamat hidup adalah untuk beribadah kepada Allah lalu mereka berlumba-lumba kepada kebaikan.


"Dan bersegeralah kamu (berlumba) dalam kebaikan" (Q.S Al maidah : 48)


Diantara kebaikan ialah menerima dan menyukai kebaikan serta berani melakukannya tanpa ragu-ragu. Sayang sekali wanita yang baik dan dididik dengan suasana yang baik tidak menghargai peluang untuk menerima kebaikan dan sebaliknya bersikap ragu-ragu dan masih bertanya untuk apa kebaikan tersebut diberikan kepadanya.



Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka (menyuruh) mengerjakan yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar (Q.S At taubah : 71)



Kehidupan manusia tidak lama, perlu dimanfaatkan dengan mencapai kebaikan supaya Allah memberkati hidup di dunia dan di akhirat.